Friday, February 20, 2009

Demonical Crisis Assembly (DCA) Ekstrim Review

Di sebalik kemelut kontroversi dan sensasi isu Black Metal penghujung 2005 dan berlarutan di awal 2006, DEMONICAL CRISIS ASSEMBLY (selepas ini diringkaskan DCA) tetap teguh berani muncul dengan kelengkapan perang terbaru bertajuk "Blood War Death". Difahamkan kandungan 5 buah lagu dalam Demo EP dalam format CD ini adalah rakaman lama, sama waktu dengan Promo CD mereka terdahulu, malah 2 lagu dari promo tersebut juga turut dimuatkan semula dalam Demo EP ini. Senjata utama bawaan DCA adalah Black Metal pada keseluruhannya dicampur-aduk tembakan Death Metal pada sebahagian tempat. Berbekalkan kualiti rakaman yang bagus, saya kira lagu-lagu seperti 'Child of Damnation', 'Internal Suffering', 'Die in Battlefield', 'The Flag of Destroyer', dan 'Blood War Death' digarap pada tahap kreativiti yang baik oleh sekumpulan pemuzik yang berpotensi terdiri dari BlazerMassacre (vokal), Baltazarr (gitar), Emperorhorde (gitar), Sood Entombed (bass) dan Waxs Witchell (dram). Saya melihat DCA begitu banyak menyusun startegi serangan berbentuk riffing gitar yang laju dan tajam disertai dentuman dram yang cergas dan tangkas juga. Jangan harapkan melodi yang mendayu dan layu kerana "Blood War Death" segar dalam nuansa yang serba-serbi keras dan pantas.

Saya turut menganggap lontaran suara vokalis DCA ini memiliki karekteristik yang tersendiri. Maaf jika saya katakan saya tidak dapat membeza atau menyama haluan muzikal DCA secara tepat, namun nama-nama seperti MAYHEM, MARDUK, IMMORTAL, GORGOROTH dan BATHORY sebagaimana yang tercatat pada kulit Demo EP ini mungkin dapat memberi sedikit panduan dalam mengenal dan menilai citarasa Black Metal persembahan DCA. Ok, ini nota tambahan saya untuk ditujukan kepada media massa nasional, MASTIKA dan HARIAN METRO terutamanya: DCA muncul tanpa rasa takut di celah kehangatan gejala Black Metal yang kalian sengaja ada-adakan (atau mungkin juga kalian sebenarnya tidak sengaja kerana kurang arif dalam menakrif jauhnya jurang beza antara kesenian metal haluan timur dan haluan barat) kerana mereka TIDAK LANGSUNG menyeru kepada penyembahan syaitan dan pemesongan akidah. Ini BUKAN halatuju metal budaya timur.

DCA membawa mesej anti-peperangan dan pro-keamanan melalui penyampaian senikata tulisan mereka. Kalian (MASTIKA, HARIAN METRO dan yang seumpamanya) berulang-kali salah tafsir terhadap definasi seni muzik metal ini yang mana kalian anggap ianya bagaikan sebuah amalan songsang mahupun ajaran sesat padahal Black Metal adalah satu jenisan muzik metal yang paling sesuai untuk menyampaikan perasaan marah dan sedih terhadap wujudnya titik-titik hitam dan noda-noda dosa dalam kehidupan seharian sejagat. DCA membuktikannya dengan cukup jelas, menggunapakai irama Black Metal untuk meluahkan ekspresi diri betapa marahnya mereka terhadap pertumpahan darah di serata dunia, betapa bencinya mereka terhadap peperangan yang tidak sepatutnya berlaku, dan betapa sedihnya mereka meratapi pembunuhan dan kematian insan-insan yang tidak berdosa. Inilah sebenarnya muzik Black Metal yang ditimur-budayakan, luahan perasaan pemuzik independen yang terdiri dari orang Melayu dan beragama Islam. Kalian (MASTIKA, HARIAN METRO dan yang seumpamanya) perlu belajar apa itu Black Metal Budaya Timur dari DEMONICAL CRISIS ASSEMBLY.

Emel: dcassembly696@yahoo.com

No comments: